Untuk peranan ini, seorang dalang harus mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat luas. Sudah tentu, berbagai-bagai bidang ilmu harus dipelajari, meskipun hanya sedikit, supaya dapat menyesuaikan cerita dengan perkembangan-perkembangan zaman dan nilai-nilai kekinian.
Sesetengah orang berpendapat bahawa perkataan dalang berasal daripada perkataan bahasa Indonesia, "dahyang"yang membawa pengertian "penyembuh berbagai-bagai penyakit". Dalam bahasa Jawa pula, dalang bermaksud "ngudalpiwulang" (menerangkan ilmu), dan memberikan pencerahan kepada para penontonya.
Pekerjaan dalang mempunyai sejarah berabad-abad, seiring dengan sejarah wayang. Pada zaman dahulu, seni ini diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Seorang anak dalang biasanya mendalang melalui perantisan, tanpa sebarang pembelajaran formal. Dia akan mengikut bapanya semasa mendalang dan membawa peralatan, mengatur panggung, main gamelan, atau duduk di belakang bapanya untuk membantu.
Melalui perantisan tersebut, seorang anak dalang pada zaman dahulu biasanya akan mengikut jejak bapanya di kemudian hari. Tetapi banyak juga anak-anak dalang diIndonesia kini tidak hendak menjadi dalang kerana mempunyai pilihan-pilihan hidup sendiri, baik dalam perkhidmatan awam, Tentera Nasional Indonesia, mahupun dalam sektor swasta.
Dalam perkembangan selanjutnya, kini terdapat juga sekolah-sekolah pendalangan sehingga peringkat insititusi pendidikan tinggi di Indonesia.
Dalam perkembangan yang lebih lanjut lagi dalam seni ini, muncullah dalang jemblung, versi pertunjukan yang dipermudah dan yang tidak menggunakan wayang sebagai media ceritanya. Pertunjukan ini terdiri daripada dialog sahaja dan dalam keadaan ini, dalang merupakan pencerita kisah wayang.
Pekerjaan dalang telah menjadi suatu profesion yang formal, khususnya di Indonesia, dengan adanya sekolah-sekolah pendalangan sehingga peringkat insititusi pendidikan tinggi, antaranya:
1. Pamulangan Dhalang Habirandha, Yogjakarta
2. Jurusan Pendalangan Sekolah Tinggi Seni Indonesia Surakarta (STSI)
3. Jurusan Seni Pendalangan, Fakulti Seni Pertunjukan, Institut Seni Indonesia (ISI).
Sekolah Tinggi Seni Indonesia Surakarta (STSI) misalnya menawarkan kursus Sarjana Muda dalam pendalangan yang tidak hanya tertumpu pada memainkan wayang tetapi juga pada wawasan luas dan fikiran kritis. Dalam institusi-institutisi pendidikan tinggi inilah lahir pula dalang yang bukan daripada keturunan dalang.
0 komentar:
Posting Komentar